mcmc
Produk Tempatan

Madu Kelulut

Madu Kelulut

Menyedari potensi madu kelulut dan kesedaran masyarakat mengenai khasiatnya, ahli Koperasi Desa Lestari 1 bergabung tenaga melaksanakan Projek Madu Kelulut di Paloh 1, dekat sini.Ketua Penyelaras Projek Madu Kelulut, Abdul Halim Hussain berkata, selain dapat menjana pendapatan sampingan ahli koperasi, projek tersebut menjadikan Paloh 1 sebagai pusat latihan penternakan kelulut serta pengeluaran madu pertama di kawasan Gua Musang.Katanya, sebagai permulaan, peruntukan sebanyak RM65,000 yang disalurkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) digunakan untuk membeli 50 koloni atau sarang kelulut.

“Penternakan kelulut amat mudah kerana kita hanya perlu meletakkan koloni kelulut di pokok.“Kelulut yang juga sebahagian daripada spesies lebah tidak menyengat menjadikan serangga ini lebih mudah dikendalikan berbanding lebah biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.Menurut Abdul Halim, proses menyedut hasil madu kelulut boleh dilakukan selepas dua minggu sehingga dua bulan dan bergantung kepada keaktifan koloni kelulut.“Madu kelulut yang berasal daripada sari bunga sangat berkhasiat dan mujarab untuk memulihkan pelbagai penyakit selain meningkatkan metabolisme badan, menambah tenaga batin, merawat organ dalaman dan menjaga kecantikan,” katanya.Pengerusi Koperasi Desa Lestari 1, Mohd. Napi Mat Nasir pula berkata, madu kelulut berbeza dengan madu lebah biasa kerana rasanya sedikit masam dan manis selain mudah dihadam.Kita menggunakan kelulut jenis Trigona Itama yang banyak terdapat di Malaysia dan menariknya, setiap serangga mengenali kotak tempat tinggal masing-masing dan amat aktif menghasilkan madu secara berterusan,” katanya.Sementara itu, salah seorang peserta projek itu, Tuan Som Tuan Mat, 51, berkata, kesedaran masyarakat mengenai khasiat madu kelulut menyebabkan permintaan semakin meningkat.“Permintaan berterusan daripada penduduk tempatan menyebabkan madu kelulut yang dihasilkan sentiasa habis dan tidak sempat untuk dipasarkan ke luar,” katanya.Di Kelantan, madu kelulut dijual sekitar RM90 hingga RM150 sekilogram.

Artikel Penuh:   http://ww1.utusan.com.my/utusan/Timur/20140501/wt_03/Ahli-Koperasi-Desa-Lestari-1-bergabung-tenaga-ternak-kelulut#ixzz3vOGP8Kw4

                              https://www.youtube.com/watch?v=hlXygNYscn4&feature=youtu.be

 sumber :Utusan Melayu (M) Bhd